BICARA PRESIDEN

15/04/2010 17:24

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum WBT dan Salam Satu Malaysia

Saudara/i yang dikasihi sekalian, saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk meningkatkan kesyukuran kita kepada Yang Maha Esa selain memperbaiki serta merancakkan usaha kita untuk mendekatkan diri kita kepadaNYA.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Saudara Muhad Rozi bin Mohd Nawi, Mantan Presiden MyPSI 2009/2010 dan AJK beliau di atas penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan yang berjalan lancar pada 11hb April 2010 yang lalu. Syabas dan Taniah!.

 

Selaku Presiden MyPSI yang baru, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh semua ahli kepada kami AJK baru. Sesungguhnya memegang jawatan ini adalah satu tanggungjawab yang besar dan berat. Sokongan dari semua ahli tidak kira yang jauh mahupun yang dekat adalah diperlukan bagi memastikan persatuan kita terus relevan dan bertambah mantap. Sesungguhnya tunjuk ajar, sokongan dan pengalaman dari AJK terdahulu masih diperlukan.  Kami amat berterima kasih di atas segala bakti dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi yang telah dicurahkan.

 

InsyaAllah, segala pandangan, cadangan dan kritikan yang membina yang telah diutarakan akan kami ambil perhatian dan tindakan yang selanjutnya. Yang pasti, kita harus bergerak kehadapan. Saya mengharapkan agar semangat perjuangan saudara-saudari untuk mendapatkan segulung Ijazah Sarjana atau Kedoktoran terus membakar. Kita jadikan MyPSI sebagai platform bagi memastikan api ini terus subur membakar. Kita ibaratkan MyPSI sebagai ejen pemangkin yang dapat memberi suntikan bagi menyemarakkan lagi semangat itu melalui perkongsian ilmu, pendapat dan pengalaman. Soal kebajikan ahli dan memberi bantuan kepada bakal postgrad tetap diteruskan sebagai agenda.

 

Aspek kerohanian dan sosial harus diseimbangkan. Tidak dapat dinafikan manusia mempunyai jiwa dan jiwa ini perlu dibajai sebaik-baiknya barulah hidup akan menjadi lebih ceria, bermakna dan bersemangat. Antara cara yang terbaik ialah melalui aktiviti kerohanian, riadah dan bersosial. Jiwa yang seimbang serta akal yang celik adalah menjadi resepi utama dalam mengukuhkan semangat kita untuk terus berjuang. Dengan semangat yang membara barulah matlamat yang hendak dicapai menjadi lebih jelas dan fokus.

 

"Team-work" adalah penting, walaupun pasukan kita mempunyai latabelakang yang berbeza namun matlamat kita sama (Masters/Phd). Namun inilah yang menambahkan seri dan mewarnai perjuangan kita bersama. InsyaAllah saya menaruh penuh keyakinan bahawa dengan semangat dan persefahaman ahli yang tinggi, persatuan ini dapat terus bergerak kehadapan dan memberikan nilai tambah kepada ahli-ahlinya.

 

Sekali lagi, saya menyeru agar semua ahli untuk meneruskan sokongan terhadap persatuan MyPSI, teruskan memberi idea-idea dan teruskan menyertai aktiviti-aktiviti anjuran persatuan. Bersama-sama kita mengorak langkah menuju wawasan jiwa kita.

 

Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk memetik ucapan Naib Canselor UniMAP untuk dijadikan renungan – “Berinovasilah... berkerjalah dengan semangat... belajar dan bekerjalah terus hingga ke akhir hayat. Bekerjalah secara cerdas dan cerdik, bekerjalah dengan hati kerana kita bekerja bukan untuk diri sendiri. Kita bekerja kerana Allah SWT. Allah memerintahkan umat manusia untuk selalu bekerja dan belajar sepanjang hidup kita. Jangan khuatir tentang rezeki, Allah sudah atur, dan Allah mengatur sesuai dengan ikhtiar dan ketawakalan kita. Allah Maha adil, oleh kerana itu adillah terhadap diri sendiri... Fikirkanlah...”

 

Sekian, Wasalam

 

“MENYANGGA AGENDA PERUBAHAN DAN INOVASI”

Mohd Najmuddin bin Mohd Hassan

Presiden MyPSI 2010/2011


Malaysian Postgraduate Student in Ireland MyPSI